Total Pageviews

Saturday, November 20, 2010

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
UNTUK MENYUKAT ISIPADU CECAIR

MATEMATIK TAHUN 2

PENGENALAN.

            Memahami tajuk baru adalah amat sukar terutama bagi murid di Tahap 1. Tajuk Isipadu Cecair dalam Matematik KBSR Tahun 2 merupakan kali pertama murid-murid tahun 2 diperkenalkan kepada isipadu cecair. Tajuk ini tidak diperkenalkan kepada murid-murid semasa mereka di Tahun 1. Ini akan menyebabkan murid-murid mudah keliru dan sukar untuk memahaminya. Adalah menjadi tugas guru untuk membantu dan membimbing murid-murid bagi memahami topik ini dengan harapan agar mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan di dalam kehidupan seharian mereka.


Membandingbeza isipadu cecair merupakan pemahaman baru bagi murid-murid Tahun 2. Oleh itu, ramai di antara mereka yang sering menilai saiz bekas yang mengandungi cecair berbanding dengan isipadu sebenar cecair yang terdapat di dalam bekas-bekas tersebut. Mereka sering memilih sesuatu bekas yang bersaiz besar sebagai pilihan mereka berbanding dengan bekas yang kecil walaupun bekas yang besar itu menakung sedikit cecair berbanding dengan isipadu cecair yang ada pada bekas yang kecil.


Bagi mengatasi kekeliruan ini, guru-guru perlu menjelaskan kepada murid-murid bahawa saiz bekas bukanlah bahan pengukur yang sesuai untuk membandingbeza isipadu sebenar cecair yang terdapat di dalam bekas. Ini kerana, saiz bekas hanya boleh digunakan untuk mengukur isipadu cecair dengan unit bukan piawai (non-standard units). Isipadu cecair dapat diukur menggunakan unit piawai (standard unit) menggunakan silinder penyukat yang pelbagai saiz.

 Rajah 1: Siliner penyukat pelbagai saiz.



MENYUKAT ISIPADU CECAIR.
Video yang disertakan di bawah pula menerangkan cara-cara yang betul untuk menyukat isipadu cecair menggunakan silinder penyukat, iaitu dengan menggunakan unit piawai bagi isipadu cecair.


Video.

            Perkara penting yang perlu ditekankan ialah bagaimana mengambil bacaan dengan betul. Guru perlu menerang dan menunjukkan kedudukan mata yang betul untuk mengambil bacaan. Ini kerana bacaan yang tepat ialah dengan mengambilkira bahagian bawah meniscus.


Rajah 2: Mengambil bacaan pada silinder penyukat dengan mengambilkira meniscus.



A. Menyukat isipadu cecair menggunakan unit bukan piawai (non-standard units).

Bahan-bahan bantu mengajar ;

1 biji jug
(yang telah diisi dengan 500 ml air)

1 baldi air bersaiz kecil
(yang telah diisi dengan 700 ml air)


2 biji botol kosong yang sama saiz


1 corong air

Bahan-bahan ini digunakan untuk membezakan kuantiti air yang terdapat di dalam jug dan baldi untuk menerangkan bahawa saiz bekas yang mengandungi air tidak menunjukkan isipadu sebenar cecair yang terdapat di dalam bekas tersebut. Untuk menjadikan aktiviti ini lebih menarik, guru boleh menggunakan air dengan warna yang berbeza.

Langkah-langkah:
1.         Labelkan setiap botol kosong tadi dengan label A dan label B.
2.       Tuangkan air dari dalam jug ke dalam botol berlabel A menggunakan corong air. Tandakan aras air yang terdapat pada botol A setelah semua air dari dalam jug dituang.
3.         Tuangkan air dari dalam baldi ke dalam botol berlabel B menggunakan corong air. Tandakan aras air yang terdapat pada botol A setelah semua air dari dalam baldi dituang.
4.         Letakkan kedua-dua botol tadi secara bersebelahan.
5.      Minta murid untuk menyatakan botol mana yang mengandungi lebih banyak air. Murid perlu menjelaskan bahawa air dari dalam jug atau baldi yang lebih banyak pada asalnya.


B. Menyukat isipadu cecair menggunakan unit piawai (standard units).

Bahan-bahan bantu mengajar ;
1 biji botol mineral bersaiz besar
(yang telah diisi dengan 500 ml air)




1 biji botol mineral bersaiz kecil (yang telah diisi dengan 400 ml air)

2 biji silinder penyukat (dengan nilai maksimum 500 ml atau 1 000 ml)
- gunakan silinder penyukat plastik yang dibekalkan ke sekolah.



1 corong air

Guru juga boleh menggunakan air yang berlainan warna agar dapat menarik minat murid dan dapat membezakan ketinggian air di dalam bekas dan iaipadu sebenar cecair setelah dituang ke dalam silinder penyukat.

Langkah-langkah:
1.       Labelkan botol air mineral yang bersaiz besar dengan A manakala botol air mineral bersaiz kecil dengan B.
2.       Tuangkan air dari dalam Botol A ke dalam silinder penyukat menggunakan corong air. Bantu murid untuk mengambil bacaan yang tepat mengenai isipadu cecair pada silinder penyukat yang telah dituang dari botol air mineral yang bersaiz besar.
3.        Tuangkan air dari dalam Botol B ke dalam silinder penyukat yang lain dengan menggunakan corong air. Bantu murid untuk mengambil bacaan yang tepat mengenai isipadu cecair pada silinder penyukat yang telah dituang dari botol air mineral yang bersaiz kecil.
4.         Letakkan kedua-dua silinder penyukat tadi secara bersebelahan.
5.       Minta murid untuk menyatakan silinder penyukat yang mana yang mengandungi lebih banyak air. Murid perlu menjelaskan bahawa air dari dalam botol mineral yang bersaiz besar atau yang bersaiz kecil yang lebih banyak pada asalnya.
6.        Bimbing murid-murid untuk menyatakan jumlah sebenar air yang terdapat di dalam kedua-dua botol dengan menggunakan unit piawai (milliliter) setelah mengambil bacaan yang betul dari silinder penyukat.
7.         Jelaskan kepada murid-murid bahawa saiz bekas (besar, kecil, lebar atau tirus) yang mengandungi air tidak menunjukkan bahawa bekas tersebut mengandungi lebih banyak atau sedikit cecair berbanding bekas lain. Ini dapat dinyatakan dengan membimbing murid untuk mengulang kembali langkah-langkah di atas pada penghujung sesi pengajaran dan pembelajaran.



Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
(untuk murid-murid berpencapaian tinggi)

Hasil Pembelajaran :
Pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran, murid-murid akan dapat mengukur isipadu cecair  menggunakan dengan ukuran unit bukan standard (non-standard units).

Bahan Bantu Mengajar;
i)          10 biji bekas air atau botol air yang berlainan saiz (diisi sehingga penuh dan pastikan isipadunya tidak melebihi 1 500 ml setiap satu, label setiap botol dengan nombor 1 hingga 10)
ii)         Corong air.
iii)        10 hingga 20 biji cawan plastik (mengikut kesesuaian)
iv)        lembaran kerja

Langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran:
1.         Murid murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan ( 3 hingga 4 orang setiap kumpulan). Lembaran kerja diedarkan kepada murid-murid.
2.       Guru menerangkan langkah-langkah dan menunjukkan cara menyukat dan membandingbeza isipadu cecair di dalam 2 botol yang berlainan saiz dengan menggunakan cawan plastik yang kosong. Sebagai contoh, guru akan membandingkan isipadu yang terdapat di dalam botol/bekas air bernombor 1 dan 2.
3.       Murid diminta membuat perbandingan isipadu cecair dalam botol/bekas air yang berlainan saiz mengikut urutan, iaitu botol 3 dan 4, botol 5 dan 6, botol 7 dan 8 serta botol 9 dan 10.
4.       Murid akan menuang air yang terdapat di dalam botol/bekas air yang bernombor 3 ke dalam beberapa cawan plastic sehingga air di dalam botol/bekas air tersebut kosong. Murid mengira jumlah cawan plastik yang berisi air yang telah dituang dari botol/bekas air itu tadi.
Rajah 3: Menuang air ke dalam cawan plastik.

5.     Kemudian, air yang terdapat di dalam botol/bekas air yang bernombor 4 pula dituang ke dalam beberapa cawan plastik, juga sehingga air di dalam botol/bekas air tersebut kosong. Murid sekali lagi akan mengira jumlah cawan plastik yang berisi air yang telah dituang dari botol/bekas air itu tadi.
6.         Murid melengkapkan jawapan di dalam ruangan yang disediakan.
            Contoh:

Arahan : Isikan tempat kosong dengan jawapan berdasarkan aktiviti yang telah anda jalankan.

            a)         Bekas _____ mengandungi ______ cawan platik air.
                        Bekas _____ pula mengandungi ______ cawan platik air.
                        Oleh itu, Bekas _____ mengandungi lebih banyak air berbanding Bekas ______ .

            b)         Bekas _____ mengandungi ______ cawan platik air.
                        Bekas _____ pula mengandungi ______ cawan platik air.
                        Oleh itu, Bekas _____ mengandungi sedikit air berbanding Bekas ______ .


7.         Ulangi langkah 3 hingga 6 menggunakan botol/bekas air bernombor 5 dan 6 sehingga botol/bekas air bernombor 9 dan 10.
8.       Setelah selesai, guru perlu bersoaljawab bersama murid murid untuk merumuskan apa yang telah dipelajari iaitu dengan menyatakan bahawa saiz objek (besar, kecil, lebar atau tirus) tidak menentukan bahawa air yang terdapat di dalamnya lebih banyak daripada bekas lain sebelum dibuat perbandingan seperti dengan menyatakan berapa banyak cawan plastik yang dapat diisi oleh air yang terdapat di dalam sesuatu bekas.


Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran
(untuk murid-murid berpencapaian rendah)

Hasil Pembelajaran :
Pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran, murid-murid akan dapat mengukur isipadu cecair  menggunakan dengan ukuran unit bukan standard (non-standard units).

Bahan Bantu Mengajar;
i)          10 biji bekas air atau botol air yang berlainan saiz (diisi sehingga penuh dan pastikan isipadunya tidak melebihi 1 500 ml setiap satu, label setiap botol dengan nombor 1 hingga 10)
ii)         Corong air.
iii)        2 biji botol air mineral (1.5 liter) yang kosong.
iv)        lembaran kerja

Langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran:
1.         Labelkan kedua-dua botol air mineral yang kosong dengan A dan B.
2.       Guru menerangkan langkah-langkah dan menunjukkan cara menyukat dan membandingbeza isipadu cecair di dalam 2 botol yang berlainan saiz dengan menggunakan 2 biji botol air mineral yang kosong A dan B. Sebagai contoh, guru akan membandingkan isipadu yang terdapat di dalam botol/bekas air bernombor 1 dan 2.
3.       Murid dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada 4 orang setiap kumpulan. Murid diminta membuat perbandingan isipadu cecair dalam botol/bekas air yang berlainan saiz mengikut urutan, iaitu botol 3 dan 4, botol 5 dan 6, botol 7 dan 8 serta botol 9 dan 10.
4.       Murid akan menuang air yang terdapat di dalam botol/bekas air yang bernombor 3 ke dalam botol mineral berlabel A menggunakan corong air. Kemudian, air dari botol/bekas air bernombor 4 dituangkan ke dalam botol mineral berlabel B.
5.     Letakkan kedua-dua botol A dan B secara bersebelahan. Guru akan membimbing murid untuk menyatakan botol/bekas air yang mana mengandungi air yang lebih banyak atau sedikit melalui pemerhatian terhadap botol A dan B.
6.         Murid melengkapkan jawapan di dalam ruangan yang disediakan.
            Contoh:

Arahan : Isikan tempat kosong dengan menggunakan nombor seperti yang terdapat pada botol.

            a)         Bekas _____ mengandungi lebih banyak air berbanding Bekas ______ .
                        Bekas _____ mengandungi sedikit air berbanding Bekas _____ .

7.         Ulangi langkah 3 hingga 6 menggunakan botol/bekas air bernombor 5 dan 6 sehingga botol/bekas air bernombor 9 dan 10.
8.        Setelah selesai, guru perlu membimbing murid untuk merumuskan apa yang telah dipelajari iaitu dengan menyatakan bahawa saiz objek (besar, kecil, lebar atau tirus) tidak menentukan bahawa air yang terdapat di dalamnya lebih banyak daripada bekas lain sebelum dibuat perbandingan dengan menggunakan botol/bekas yang sama saiz.


KESIMPULAN.

Aktiviti yang menarik dapat membantu murid untuk memahami sesuatu tajuk, terutama tajuk yang baru. Faktor kebolehan dan dan tahap pencapaian murid yang berbeza perlu diambilkira dalam menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Bahan bantu mengajar juga perlu sesuai dengan mempertimbangkan keberkesanannya dan factor-faktor keselamatan.

Dalam menyampaikan sesuatu maklumat yang baru seperti yang terdapat dalam tajuk isipadu cecair ini, murid-murid haruslah menguasai konsep isipadu cecair terlebih dahulu. Selepas itu, barulah murid-murid dapat memahami dengan lebih mudah lagi hasil pembelajaran yang terdapat di dalam tajuk isipadu cecair didedahkan dengan subtopik-subtopik lain dalam bab isipadu cecair.




RUJUKAN :

Lee Tak Sing ( et al.) (2003). Intergrated Curriculum For Primary Schools, Mathematics Year 2
( Textbook Part 2) : Volume of Liquid (1st ed). Kuala Lumpur : Hypersurf Corporation Sdn. Bhd.


Murugiah s/o Velayutham. & Kao Thuan Keat. (2007). HBMT 1203 Teaching Mathematics In Year
Two : Volume Of Liquid (6th  ed). Selangor Darul Ehsan : Meteor Doc. Sdn. Bhd.


Sasbadi.(2010). Lembaran Homework Mathematics Year 2 : Use Words About Volume Of Liquid
(1st ed). Selangor Darul Ehsan : Sasbadi Sdn. Bhd.


http://www.moe.gov.my/bpk/sp_hsp/mate/kbsr/hsp_maths_y2.pdf


http://www.youtube.com/watch?v=iPkZlce84ag



No comments:

Post a Comment